Selamat Datang Ke Portal Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah

Sunday, March 21, 2010

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah telah diadakan pada 12 Mac 2010, bermula jam 7.30 pagi, bertempat di Dewan Munshi Abdullah. Seramai hampir 200 orang warga SMKMA termasuk AJK PIBG hadir dalam majlis ini. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Nik. Shahrul, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya oleh pelajar. Tuan Pengetua, En. Shamsuddin b. Haron seterusnya mengalu-alukan kehadiran semua bagi menjayakan majlis ini. Marhaban dan Salawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW kemudiannya bergema memenuhi dewan ini dengan diketuai oleh En. Mohd Ismail, memuji dan mengagungkan kebesaran yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Baginda.
Ceramah Maulidur Rasul disampaikan oleh Prof. Madya Ajmain Safar, yang juga merupakan Imam Masjid Kota Kulai, dengan tajuknya "Kasih Rasul" diikuti dengan penuh minat oleh seluruh hadirin yang berada di dewan ini. Pada penghujung majlis, hadirin dijamu dengan hidangan nasi beriani.

Friday, March 12, 2010

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2009






Tarikh : 11 Mac 2010 (Khamis)
Tempat : Galeri Munshi, SMK Munshi Abdullah, Kulaijaya

Sunday, March 7, 2010

LAGI GAMBAR KEJOHANAN OLAHRAGA 2010

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN 2010


Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Munshi Abdullah, Kulaijaya berlangsung penuh meriah pada hari Sabtu, 6 Mac 2010. Majlis perasmian kejohanan yang disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMK Munshi Abdullah, Encik Shamsuddin bin Haron, dimulakan dengan acara perbarisan lintas hormat oleh kontigen unit badan beruniform dan rumah sukan SMKMA. Ikrar kejohanan dilafazkan dengan penuh semangat oleh semua peserta diketuai oleh Saudara Shafii dari tingkatan 5C. Persembahan pelajar yang mempertontonkan gerak ceria senam robik dan demonstrasi silat oleh Persatuan Silat Gayung Fatani SMKMA mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

Kejohanan Olahraga pada kali ini menyaksikan keunggulan pasukan Rumah Merah menduduki carta teratas sekaligus menjuarai kejohanan ini dengan mata terkumpul sebanyak 259. Berikut adalah keputusan keseluruhan bagi setiap rumah sukan bagi Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Munshi Abdullah bagi tahun 2010 :

  • Merah = 259 mata
  • Biru = 225 mata
  • Kuning = 219 mata
  • Hijau = 213 mata


Hiasan khemah terbaik dimenangi oleh pasukan Rumah Hijau yang menerapkan motif unik flora dan fauna, jelas menonjolkan daya imaginasi dan kreativiti tersendiri. Acara perbarisan unit badan beruniform dijuarai oleh pasukan Bulan Sabit Merah manakala perbarisan rumah sukan dipelopori oleh pasukan Rumah Kuning. Tahniah Saudara Annadhurai a/l Balakrishnan dan Saudari Tamilarasi a/p Achithampy kerana telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati bagi tahun 2010 ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada mereka yang telah memenangi acara-acara yang dipertandingkan. Kepada yang tidak berjaya, usah berputus asa. Lipat gandakan usaha untuk memastikan kejayaan pada tahun hadapan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga dirakamkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung demi memastikan kejayaan kejohanan olahraga tahunan ini.


JUMPA LAGI TAHUN 2011!!!


Wednesday, March 3, 2010

HEPATITIS B - MEMBUNUH SECARA SENYAP

Ujian mengenal pasti tahap ketahanan antibodi terhadap virus Hepatitis B telah dijalankan oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (Cawangan Negeri Johor) pada hari Rabu, 3 Mac 2010 di Makmal Biologi SMK Munshi Abdullah, Kulaijaya.


Hepatitis B merupakan virus yang boleh dijangkiti melalui darah, air mani, cecair tubuh dan rembesan. Virus ini adalah 100 kali ganda lebih mudah dijangkiti daripada AIDS. Virus Hepatitis B boleh mengakibatkan kerosakan hati dan kanser hati. Disebabkan virus ini tidak menunjukkan sebarang tanda klinikal, adalah amat sukar untuk mengetahui sama ada sesorang itu telah dijangkiti virus ini atau sebalikya.

Terdapat 350 juta orang pembawa virus Hepatitis B di seluruh dunia dan 75% daripadanya adalah daripada kalangan penduduk di rantau Asia. Pencegahan virus ini boleh dilakukan melalui suntikan vaksin Hepatitis B. Ujian darah perlu dijalankan sebelum vaksinasi dibuat agar paras antibodi dapat dikenal pasti terlebih dahulu. Sampel darah yang telah diambil akan dihantar ke Bahagian Perubatan Mikrobiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya untuk ujian seterusnya. Laporan persendirian akan dikeluarkan oleh pihak Universiti Malaya dan akan dihantar ke sekolah untuk diagihkan kepada mereka yang mengambil bahagian dalam jangkamasa 3 minggu selepas ujian dilakukan.

MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI...