Selamat Datang Ke Portal Rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah

Tuesday, February 23, 2010

SEJARAH TAHUN BARU CINA


Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Ia melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Thursday, February 11, 2010

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA

PROGRAM KUNJUNG BANTU DAERAH KULAIJAYA


Pada 11 Februari 2010 (Khamis), SMK Munshi Abdullah telah didatangi oleh 4 orang pegawai bagi Program Kunjung Bantu Bagi Sekolah-Sekolah Daerah Kulaijaya. Mereka terdiri daripada Tuan Haji Che Mustapha bin Che Ismail (Pen. PPD Unit Teknik dan Vokasional), En Abd Rahman bin Safii (Pegawai Kaunselor Pentadbir PPD), Encik Khairuddin bin Mustapha (GPK1 SMK Bandar Tenggara 2) dan Puan Hjh Zaharah binti Hashim (GPK1 SMK Taman Putri).

PROGRAM MENTOR MENTEE PRINSIP PERAKAUNAN



Program Mentor Mentee bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan telah diadakan di Dewan Munshi Abdullah, SMKMA pada 11 Februari 2010. Program ini disertai oleh 49 orang murid Tingkatan 5 merangkumi 34 orang murid SMK Munshi Abdullah dan 15 orang murid SMK Indahpura. Program ini bertujuan mendedahkan murid kepada kaedah dan teknik menjawab soalan Prinsip Perakaunan yang betul dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2010. Program dikendalikan oleh Puan Siti Faridah Shafii (SMKMA), Cik Siti Zuliana (SMKI) dan Puan Rozita (SMKI) mulai jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.

Saturday, February 6, 2010

KEMAHIRAN BELAJAR : PETA MINDA

Kemahiran belajar merujuk kepada kemahiran untuk menyediakan diri bagi menerima ilmu ketika belajar. Kemahiran ini amat penting bagi memastikan apa yang diajar dapat diterima dan difahami oleh pelajar. Peta minda adalah satu kaedah mengingat dan mencatat nota yang berkesan kepada pelajar. Dalam kaedah peta minda, hanya fakta-fakta penting sahaja yang dimasukkan ke dalam peta yang disediakan. Penggunaan peta minda dan pengurusan grafik sesuai diaplikasikan untuk memudahkan pembacaan serta memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna.




Antara kaedah membuat peta minda yang baik adalah seperti berikut :

  1. Tuliskan tajuk nota dengan huruf besar di bahagian tengah kertas
  2. Bahagikan kepada cabang-cabang yang merupakan fakta utama (maksimum tujuh cabang)
  3. Bahagikan cabang kepada cabang kecil - fakta terperinci
  4. Setiap cabang utama ditulis menggunakan satu perkataan mudah. Contoh : Kaedah, Jenis...
  5. Semua fakta ditulis menggunakan huruf besar



Ceramah Kemahiran Belajar (Peta Minda) telah disampaikan oleh Cik Marlizah Laili, Kaunselor SMKMA pada pagi Sabtu, 6 Februari 2010 di Dewan Munshi Abdullah, Kulaijaya.

Thursday, February 4, 2010

SUKANTARA SMKMA 2010




Sukantara SMKMA telah dilaksanakan dengan jayanya pada 3 hingga 4 Februari 2010. Antara acara yang dipertandingkan termasuklah larian 100m, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. Semua murid diwajibkan menyertai acara-acara yang dipertandingkan untuk mengumpul mata bagi setiap rumah sukan. Terima kasih kepada para guru atas penglibatan yang aktif dalam menjayakan program yang diadakan saban tahun ini. Majulah sukan untuk MUNSHI!!

Wednesday, February 3, 2010

SELAMAT BERTUGAS DI SMKMA



Taklimat pertama bersama Tuan Pengetua SMK Munshi Abdullah, Encik Shamsuddin bin Haron telah diadakan pada 3 Februari 2010 di Bilik Wawasan, SMKMA. Beliau berasal dari Pontian, Johor dan sebelum ini bertugas di Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Seluruh warga SMKMA mengalu-alukan kedatangan Tuan Pengetua ke sekolah ini. Semoga kehadiran beliau dapat memacu kecemerlangan sekolah dari segenap aspek pada masa akan datang. Selamat Bertugas Tuan...

ANUGERAH TOKOH NILAM KULAIJAYA 2010


Pada 1 Februari 2010 (Isnin) yang lalu, pertandingan Anugerah Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya telah diadakan. Bertempat di PKG Sg. Sayong, majlis ini dihadiri oleh seramai 30 orang peserta sekolah rendah dan sekolah menengah daerah Kulaijaya. Pertandingan ini dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kulai dengan kerjasama Pusat Kegiatan Guru Daerah Kulai. SMKMA tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Buat julung kalinya, diiringi Guru Perpustakaan dan Media, Puan Hoh Siew Lan, peserta SMK Munshi Abdullah telah meraih kejayaan dengan memenangi hadiah tempat kedua bagi Kategori Sekolah Menengah (Bandar). Tahniah diucapkan kepada Saudari Noraini binti Senu dari tingkatan 5A atas kejayaan beliau. mengharumkan nama sekolah. Semoga kejayaan akan terus mengiringi langkah beliau dan semua murid SMKMA pada masa akan datang. Syabas!
"NADI ILMU AMALAN MEMBACA"