Berita kemangkatan DYMM Sultan Johor, Sultan Iskandar Al Haj ibni Almarhum Sultan Ismail disambut dengan kesedihan oleh seluruh rakyat di bumi Darul Takzim. Almarhum mangkat pada hari Jumaat 22 Januari 2010 jam 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital tersebut kerana gering. Baginda memerintah negeri Johor selama hampir tiga dekad dan merupakan sultan keempat dalam sejarah Johor moden. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani bin Othman pada jam 11.20 malam.
Almarhum Sultan Iskandar diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932 dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Baginda merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar. Pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan. Almarhum telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. Sempena kemangkatan almarhum sultan, rakyat dan penduduk negeri Johor berkabung selama 7 hari dan bendera negeri dinaikkan separuh tiang. Semoga almarhum DYMM Sultan Iskandar ditempatkan dalam kalangan orang2 yang soleh dan roh baginda dicucuri rahmat olehNya. Al-fatihah...